Wanita desa yang bertuah ini bukan saja dapat menyusui baginda tapi juga dapat menyaksikan sendiri Nabi Muhammad membesar di tangannya.
Halimah atau dikenali juga Halimatus Saadiah (kerana berasal dari Bani Saad) binti Abu Dhuayb, isteri kepada al Harith bin Abdul Uzza yang terkenal dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.
Namun tahukah anda, Nabi Muhammad sebelum disusui oleh Halimah, sebenarnya tidak mendapat tempat di hati ibu-ibu susu dari desa yang datang ke Kota Mekah semata-mata untuk mencari bayi yang hendak mereka susui.
Hanya kerana baginda anak yatim. Setiap dari mereka ditawarkan untuk menyusukan Nabi Muhammad tetapi kesemuanya enggan menerima baginda apabila sebaik sahaja mendapat tahu bahawa bahawa bayi itu seorang anak yatim. Ini kerana mereka lazimnya juga mengharapkan agar mendapat sesuatu kebaikan dari bapa si bayi, jika sekadar dari datuk dan ibu si bayi pastinya tidak mendatangkan yang lumayan buat mereka.
Halimah dan suaminya bersama seekor keldai tua, bernama Qamra dan unta betina yang juga sudah tua dan telah kering susunya menuju ke Mekah dengan penuh kepayahan. Mereka terpaksa keluar untuk mencari upah ibu susuan akibat tekanan dari musim kemarau yang menimpa kampung mereka
Mereka sering terpaksa berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan unta yang tidak lagi mampu mengeluarkan susu.
Halimah sama sekali tidak mengetahui gerangan tuah si bayi kecuali mengambil baginda kerana Nabi Muhammad satu-satunya bayi yang masih tinggal minta untuk disusui oleh ibu-ibu susu.
Namun suami Halimah berkata: "Tidak ada salahnya kamu mengambil bayi itu, mudah-mudahan Allah memberikan kita keberkatan pada bayi itu," kata Al Harith.
Lalu Halimah membawa Nabi Muhammad yang masih bayi itu untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.
Namun dihulurkan juga kepada Nabi Muhammad untuk menyusu badan dan tidak semena-mena didapati bayi itu menyusu dengan enak dan puas seolah-olah terdapat banyak bekalan susu dari badan si ibu susuan itu.
Sehinggakan Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena seperti kekenyangan dan cukup bekalan susunya.
Malah ketika suami Halimah keluar, melihat unta betinanya yang sudah tua itu didapati unta itu juga dapat mengeluarkan susu dengan banyak sehingga tidak tertampung untuk diminum.
Ini membolehkan Halimah sendiri dapat menambahkan bekalan susu dalam badannya apabila beliau sendiri dapat minum susu unta dengan banyaknya.
Tanda-tanda keberkatan dan kelebihan Rasulullah tidak henti setakat itu sahaja, sebaik tiba di perkampungan Bani Saad lebih banyak keajaiban yang berlaku.
Sedangkan kampung itu paling teruk di landa kemarau, tetapi didapati kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya, yang ditinggalkan sepanjang pemergian mereka ke Mekah turut mengeluarkan susu yang banyak.
Seolah-olah kambing-kambing itu dapat meragut rumput-rumput sedangkan kesemua tumbuhan dan rumput mati akibat musim kemarau yang melanda.
Sejak mengambil Nabi Muhamad sebagai anak susunya, hidup Halimah sekeluarga benar-benar berubah kepada yang lebih baik berbanding orang lain.
Gambar tapak di mana rumah Halimatus Saadiah dulu.
Quantity :
Add to Cart
No comments:
Post a Comment